CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, October 21, 2008

RAM

Komputer anda mempunyai dua jenis ingatan: ingatan capaian rawak (RAM) dan ingatan baca sahaja (ROM). RAM menyimpan semua bahan-bahan yang anda sedang buat, dan ROM menyimpan semua maklumat kekal anda seperti perisian aturcara anda, sistem BIOS (sistem asas input/output), bunyi dan kad-kad video.Untuk memudahkan anda menambah ingatan kepada sesuatu sistem, cip-cip RAM dipakejkan pada modul yang berdetap masuk ke tempatnya dengan mudah. Modul-modul ini dipanggil SIMMs (modul ingatan baris tunggal) atau DIMMs (modul ingatan baris duaan).Oleh kerana harga ingatan telah murah, kebanyakan sistem yang anda beli hari ini telah dipasang dengan RAM yang banyak. Sekiranya anda mempunyai satu sistem yang lama, atau hendak menjalankan beberapa program yang besar pada masa yang sama, anda mungkin hendak menaikkan prestasi sistem anda dengan menambahkan modul SIMM atau DIMM yang bersesuaian. Modul-modul ini terdapat dalam beberapa jenis; periksa manual anda atau dapatkan bantuan juruteknik sebelum membeli ingatan yang hendak dinaik gred.

MIKRO PEMPROSES


Mikro pemproses merupakan otak kepada komputer anda. Dari satu segi, ia seperti pemproses makanan: bahan mentah dimasukkan, pemproses memotong dan menghirisnya, dan hasilnya akan keluar di sebelah sana. Mikro pemproses juga dipanggil CPU (unit pemprosesan pusat).Sekali pandang, nampak mudah untuk membandingkan prestasi mikro pemproses: semua mikro pemproses mempunyai nombor-nombor dalam megahertz (MHz), sesetengahnya lebih besar daripada yang lain, dan nombor yang lebih besar bermakna lebih laju. Mudah? tetapi anda tidak boleh membandingkan pemproses-pemproses yang berlain jenis seperti itu. Pemproses Pentium II 350-Mhz lebih laju daripada pemproses Pentium II 300-MHz. Tetapi apakah ini bermakna pemproses Celeron 350-MHz lebih laju daripada AMD K6 300-MHz? Jawapannya ialah, tidak. Nombor-nombor hanya boleh dibandingkan dalam satu keluarga pemproses tertentu sahaja, ini adalah kerana kelajuan jam (yang diukur dalam megahertz) merupakan hanya satu faktor dalam prestasi sistem secara keseluruhannya.

Motherboard


Papan induk merupakan papan litar yang menjadi dasar bagi menyambungkan semua komponen-komponen yang lain. Sesetengah bahagian komputer dipaterikan terus kepada papan induk; yang lainnya dimasukkan ke dalam berbagai-bagai jenis slot-slot tambah atau port-port penyambung yang terdapat di papan induk.

KAD BUNYI


Komputer anda mempunyai satu kad bunyi yang membolehkannya mengeluarkan bunyi-bunyi dan muzik daripada fail-fail data komputer, memainkan semula muzik daripada CD audio dan mengumpul input daripada mikrofon atau peranti audio luaran. Anda mungkin tidak perlu untuk menaik-gredkan komponen ini. Sebaliknya kalau anda benar-benar meminati muzik atau permainan, anda mungkin mahu mendapatkan kad bunyi yang canggih yang boleh melakukan teknik-teknik tambahan. Kini, sesetengah kad bunyi memberikan kesan tiga dimensi yang digunakan oleh pengaturcara permainan untuk menimbulkan suasana yang membuatkan anda benar-benar asyik dengannya. Sesetengahnya juga menyokong empat pembesar suara (dua di hadapan, dua di belakang) untuk menimbulkan suara di sekeliling arah.

KAD GRAFIK(GRAPHIC CARD)


Ia juga dipanggil penyesuai video (video adapter) atau kad grafik. Papan ini menghantar maklumat paparan ke monitor anda. Berbagai-bagai jenis kad video berada di pasaran sekarang, daripada model yang paling asas yang menyediakan semua keupayaan paparan untuk keperluan perniagaan, sehinggalah ke kad prestasi tinggi yang disesuaikan bagi keperluan pemain-pemain dan pengguna multimedia yang lain.

CIP BIOS


BIOS kependekan untuk sistem input-output asas. Ia merupakan perisian yang disimpan di dalam cip yang mengawasi cara komputer berinteraksi dengan kekunci, skrin, pemacu-pemacu cakera dan port-port bersiri dan selari. Biasanya cip BIOS merupakan salah satu komponen yang tidak boleh digodek, walaubagaimanapun kadang-kala terdapat sistem lama yang mungkin memerlukan pemasangan cip BIOS yang baru. Dapatkan bantuan juruteknik sekiranya anda mempunyai masalah input-output pada komputer peribadi lama

SLOT TAMBAHAN


Kebanyakan komponen komputer yang boleh dinaik-gredkan, dipasang di dalam komputer peribadi melalui slot-slot tambah-bukaan pada papan induk di mana papan-papan litar (selalunya dipanggil kad-kad) yang baru boleh dimasukkan. Biasanya komputer peribadi mempunyai beberapa kad-kad yang sudah pun terpasang pada tempatnya: kad video, kad bunyi dan juga modem dalaman. Sekiranya anda mahu memperbaiki keupayaan komputer anda, anda boleh menarik keluar kad yang sedia ada daripada slotnya dan menggantikannya dengan kad yang mempunyai prestasi yang lebih tinggi.Sistem-sistem mempunyai jumlah bilangan slot-slot tambah yang berbeza bagi memasukkan keupayaan tambahan; sesetengah sistem yang murah tidak mempunyai slot langsung, manakala sistem yang lebih canggih kemungkinan mempunyai beberapa slot. Apakah kemungkinan kad yang anda hendak tambah selain daripada tiga kad yang asas tadi? Port SCSI (sambungan laju tinggi yang khas untuk memasang pengimbas atau pemacu-pemacu cakera) atau kad penangkap video untuk memasukkan video ke dalam komputer peribadi anda, merupakan dua kemungkinan yang popular.

PEMACU KERAS(HARD DRIVE)

Pemacu cakera keras, atau singkatnya pemacu keras, merupakan peranti storan terbina dalam untuk anda menyimpan kebanyakan daripada aturcara-aturcara dan fail-fail maklumat. Saiz pemacu-pemacu keras yang biasa telah bertambah pada kadar yang menghairankan dalam beberapa tahun yang lalu. Dalam tahun 1980'an, semasa cakera keras mula-mula sampai ke pasaran pengguna, ia mempunyai storan 10 megabyte. Kini sistem komputer yang agak biasa pun mempunyai pemacu keras dengan muatan berbilang gigabyte (satu gigabyte bersamaan 1024 megabyte).
Tiga faktor asas yang membezakan pemacu cakera keras di antara satu sama lain: muatan storan, kelajuan dan kebolehpercayaan (reliability).Walaupun kebanyakan daripada komputer yang keluar dari kilang mempunyai satu pemacu keras sahaja, tiada sebab kenapa anda tidak boleh menambah satu lagi sekiranya anda kehabisan ruang. Sekarang ini, pemacu-pemacu yang besar mampu dibeli, dan pemasangan profesional pula dikenakan bayaran yang minimum.

CD-ROM

Cakera liut (dan juga cakera keras) menyimpan maklumat secara magnet. Cakera CD-ROM atau DVD-ROM menyimpannya secara optik: alur laser memancar ke atas cakera yang berputar, membaca lekuk-lekuk yang amat halus pada permukaan cakera. Pemacu CD-ROM boleh membaca CD sahaja, sama ada CD-CD data (menyimpan maklumat komputer) atau CD-CD audio yang biasa yang anda guna di stereo. Pemacu DVD-ROM boleh membaca CD-CD di samping cakera-cakera data DVD dan cakera-cakera filem.Pilihan pemacu cakera yang lain yang mendapat kepopularan ialah perakam CD, pemacu yang bukan hanya boleh membaca CD malah boleh menciptanya juga. Terdapat beberapa perakam DVD di pasaran, tetapi kurangnya piawaian dan perdebatan mengenai perlindungan hak cipta telah menghalangnya menjadi dominan buat masa ini.

INTERNAL FLOPPY


Inilah rupa pemacu cakera liut di bahagian dalam. Satu soalan untuk anda: Mengapa cakera-cakera liut tidak meliut? Apabila anda memegangnya ditangan anda, ia tidak meliut, atau bergoyang-goyang apabila anda menggoyangkannya. Jawapannya: dalam kasing cangkerang keras, cakera itu sendiri ialah sekeping medium magnet yang nipis (seperti pita audio tetapi lebih tebal) dan meliut apabila anda keluarkan daripada cangkerangnya. Pada cakera liut (cakera keras pun begitu juga), data disimpan di dalam satu siri lingkaran. Cakera berputar sementara kepala magnet bergerak dalam dan luar merentasi lingkaran untuk mencari data yang diingini.

SLOT MODEM

Modem-modem terdapat dalam dua bentuk: dalaman (dipasang di dalam komputer di slot tambah) dan luaran (satu kotak yang berasingan disambungkan kepada port bersiri, atau kadang-kala port USB). Kebanyakan sistem yang dijual pada masa kini mempunyai modem dalaman sebagai peralatan biasa. Modem-modem juga mempunyai kadar laju yang berbeza-beza. Model-model yang lama mempunyai kelajuan pada kadar 28.8 Kbps (setiap Kbps ialah seribu bit sesaat) atau 33.6 Kbps, tetapi yang biasa pada masa ini ialah 56 Kbps.

MONITOR


Skrin yang anda tatap terdapat dalam dua jenis iaitu CRT (tiub sinar katod) dan panel yang rata. Monitor CRT berfungsi sebagaimana set televisyen -- alat pemancar elektron di belakang memancar elektron pada fosfor berwarna yang terdapat di sebelah dalam kaca hadapan, menjadikannya menyala. Seperti juga TV, monitor diukur secara garis pepenjuru (menyilang), tetapi ukurannya tidak pernah tepat. Sebagai contoh, monitor berukuran 15 inci tidak akan memaparkan gambar dengan ukuran yang sama; sebaliknya ia lebih kurang 14 inci atau mungkin 13.5 inci sahaja.Sejak akhir-akhir ini skrin dengan panel rata menjadi semakin popular untuk komputer meja. Panel seperti ini menggunakan teknologi TFT (thin film transistor) yang sama dengan skrin komputer riba (laptop) bertaraf tinggi (skrin ini juga dipanggil "active-matrix displays"). Setiap dot yang berwarna adalah transistor berasingan yang "menyala" dan "padam" untuk membentuk imej. Skrin Panel rata mempunyai banyak kelebihan, antaranya ia mengambil ruang meja yang kurang berbanding CRT, menggunakan kurang kuasa elektrik dan paparannya lengkap tanpa-kelip (flicker-free). Namun begitu, dari segi kos, panel rata masih berharga tinggi, lebih kurang sekali ganda harga skrin CRT dengan saiz yang sama.

KEYBOARD


Rekaletak papan kekunci mungkin merupakan sesuatu yang paling tua pada komputer anda. Rekaletak QWERTY (dinamakan daripada rangkaian enam huruf pertama pada barisan atas) telah direka pada 1868 oleh Christopher Sholes, pencipta mesin taip.Setiap kali anda menekan kekunci, ia menutup suis yang menghantar kod kepada sistem BIOS (basic input-output system). BIOS mengenalpasti sama ada anda menaip huruf, menekan kekunci Shift, Alt atau Ctrl sambil menaip huruf untuk mencipta aksara yang ber-Shift, ber-Alt atau ber-Crlt, atau menekan kekunci arahan (seperti F1), dan menghantar maklumat kepada program yang anda sedang gunakan.Terdapat banyak ergonomik (sains merekabentuk peranti, aturcara dan sistem) di pasaran, dengan rekabentuk yang meringankan tekanan menaip dan menghindarkan penyakit-penyakit berkaitan penggunaan komputer seperti kecederaan akibat ketegangan yang berulang. Terdapat percanggahan terhadap sama ada mana-mana papan kekunci pilihan ini dapat memberikan kebaikan dan faedah kepada anda.Dalam pada itu terdapat beberapa cadangan terhadap langkah-langkah asas yang anda boleh lakukan agar dapat menaip secara sihat dan selesa. Ubahsuai ketinggian kerusi dan meja anda supaya lengan bawah anda selari dengan lantai dan pergelangan tangan anda sama rata dengan dengan papan kekunci. Tetapkan pergelangan tangan anda agar lurus dan sejajar dengan lengan bawah anda; jangan bengkokkan kesebelah atau lengkukkan jari anda untuk menekan kekunci. Dan jangan menaip dengan pergelangan tangan anda "rehat" atas meja.

TETIKUS (MOUSE)


Tetikus komputer direka di the Xerox Palo Alto Research Center (PARC) oleh Douglas Engelbert. Steve Jobs dari Apple Computer telah terlihat tetikus Engelbert semasa melawat Xerox PARC dan bermulalah sejarah. Tetikus adalah faktor utama ke arah pengkomputeran visual.Secara umumnya semua titikus sama fungsinya: sebiji bebola kecil berputar apabila anda menggerakkan tetikus. Bebola tersebut menggerakkan dua "roda" dalaman, satu untuk pergerakan menegak dan satu lagi untuk pergerakan mendatar. Bebola tersebut perlu dikeluarkan dan dibersihkan jika perlu, dan buangkan kotoran yang melekat pada kedua-dua roda tersebut (anda boleh gunakan putik kapas dan sedikit "thinner"). Namun perkembangan teknologi hari ini telah menghasilkan tetikus yang menggunakan sensor, tanpa bebola.

KAYU BEDIK (JOYSTICK)

KAYU BEDIK (joystick) digunakan untuk mengawal pergerakan di skrin dalam permainan komputer. Ia memberikan tiga jenis informasi kepada komputer: pergerakan mendatar, pergerakan menegak, dan isyarat tutup-buka (on-off) apabila butang ditekan. Kayu bedik direka bagi membolehkan pemain-pemain penyelaku penerbangan (flight-simulator) mendapat kawalan tambahan yang dipanggil "top hat" di bahagian atas kayu, berupa set tambahan kawalan mendatar dan menegak menggunakan ibu jari.Kayu bedik pernah menjadi satu-satunya alat kawalan terpenting bagi pemain-pemain komputer, namun alat kawalan jenis lain juga semakin popular. Untuk permainan lumba, telah ada roda pengemudi (yang datang dengan pedal kaki berasingan untuk pecutan dan brek). Dan bagi pemain yang biasa dengan "PlayStation" dan "Nintendo", terdapat pad permainan PC dengan rekaletak butang yang menyerupai alat kawalan yang mudah.

PEMBESAR SUARA

Hari ini komputer boleh memainkan CD audio dan melancarkan program-program dengan kualiti penataan bunyi filem yang hebat. Sepasang pembesar suara yang baik penting bagi merasai keseronokannya sistem bunyi teknologi tinggi. Tidak seperti pembesar suara stereo biasa, pembesar suara komputer siap dibina dengan penguat bunyi dalaman. Ia juga mempunyai penghadang magnetik yang membolehkannya diletakkan sebelah monitor tanpa menjejaskan visual pada monitor dan gangguan bunyi pada pembesar suara.Dua pembesar suara mencukupi untuk komputer urusan perniagaan, namun jika anda mahukan keseronokan audio yang lebih, atau kesan bunyi yang hebat untuk permainan komputer, sistem bunyi yang dilengkapi pengganti alat pembesar suara (subwoofer) amat memadai. Alat ini mengeluarkan bunyi bes yang dalam dan bergema.